KEMAMAN: Sebuah beg sandang dipercayai milik Karim Abdullah, 39, yang merupakan salah seorang mangsa dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, ditemukan oleh anggota pasukan pencarian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, beg yang mengandungi dokumen peribadi keluarga itu ditemukan di atas beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Beg sandang jenama Gregory itu ditemukan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah ketika mengetuai operasi pencarian seorang lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg duit yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi keluarga mangsa termasuk wang tunai lebih RM1,000, kad pengenalan dan my kid anak-anak mangsa, kad bank, seutas kalung dan tiga buah telefon bimbit.
“Turut ditemui dalam beg tersebut, ‘name tag’ atas nama Fatin, yang dipercayai milik mangsa terakhir,” ujarnya.
Hanyan berkata, barangan tersebut akan diserahkan kepada waris keluarga mangsa.
Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, sembilan sekeluarga yang berasal dari Felda Lepar Hilir 3, Pahang serta bakal menantu keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat.
Setakat ini, sembilan jasad telah ditemukan iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal,11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Anak tirinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, ditemukan pada Selasa sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemui pada Jumaat. – UTUSAN