GEORGE TOWN: Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan sambutan Hari Raya Aidiladha penduduk di kawasan Flat Indah di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang di sini terjejas akibat banjir kilat.
Hujan lebat sejak pukul 3.30 pagi tadi itu menyebabkan air sungai yang terletak bersebelahan dengan flat tersebut melimpah mengakibatkan banjir sehingga ke paras lutut.
Selain kawasan flat itu, beberapa buah rumah di kawasan perumahan kampung nelayan di situ turut dinaiki air.
Difahamkan banjir mula surut sepenuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, namun penduduk masih dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan masih berterusan.
Seorang penduduk, Nur Syazwani Ariffin, 30, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira pukul 3.30 pagi ketika hujan semakin lebat dan air dari sungai mula melimpah ke parit.
”Pada waktu itu penduduk mula mengalihkan kereta dan motosikal masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi.
“Saya yang tinggal di tingkat dua flat tersebut turut mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat yang tinggi, nasib baik saya sempat kerana air naik terlalu cepat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga pukul 8 pagi tadi air sungai masih melimpah kerana hujan berterusan dan keadaan air laut pasang.
”Hanya kira-kira pukul 9 pagi air mulai surut dan mula surut sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.
”Penduduk di tingkat bawah flat ini paling terjejas kerana air naik terlalu pantas dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan, kira-kira pukul 9 pagi tadi, beberapa tempat di sekitar kawasan Timur Laut telah mengalami kenaikan paras air dan air bertakung disebabkan hujan berterusan sejak semalam.
Antara kawasan terlibat, katanya, adalah di Jalan P. Ramlee; Jalan Langkawi (Kebun Lama); Taman Rampas (Sungai Pinang); Jalan Perak; Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium).
“Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan dan berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Selain itu, MBPP memaklumkan turut berlaku kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan antaranya di kawasan Jalan Loh Poh Heng, Paya Terubong serta laluan di sebelah Recsam menghala ke Jalan Tun Sardon.
”Tindakan segera sedang dijalankan dan laluan tersebut akan dibuka kepada kegunaan orang awam dalam masa terdekat setelah kerja-kerja pembersihan selesai dan selamat,” katanya. – UTUSAN