Bayi antara tiga maut kereta terbalik di LPT2 - Utusan Malaysia

Bayi antara tiga maut kereta terbalik di LPT2

KEADAAN kereta Proton Wira yang remuk selepas terbalik dalam kemalangan di Kilometer 375.8, LPT2 berhampiran Bukit Besi, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang wanita yang baru lepas berpantang bersama bayi lelakinya berusia dua bulan serta ibunya maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, di sini, petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu dekat sini. 

Bayi mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail berusia dua bulan dan ibu Raja Nurhanani Nabila, Noreha Mohamed, 53, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan dan kepala. 

Turut cedera parah dalam kemalangan itu ialah dua adik kepada Raja Nurhanani Nabila iaitu Raja Haikal Najmi, 20, yang mengalami patah kaki sebelah kanan dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, patah bahu kiri. 

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarganya yang lain sedang dalam perjalanan dari kampung mereka di Kampung Semat, Wakaf Bharu, Kelantan untuk pulang ke kediamannya di Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan, Pahang. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang dipandu Raja Haikal Najmi dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik.

“Anggota Bomba dan Penyelamat yang turut bergegas ke lokasi kejadian membantu mengeluarkan kesemua mangsa dan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya kepada pemberita. 

Baharudin berkata, Raja Nurhanani Nabila dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam tadi. 

Sementara itu, Raja Haikal Najmi dan Raja Nurhumairaa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan. 

Mayat anak dan ibunya pula dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya