PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pemberian wang bagi bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya bukan sedekah sebaliknya adalah suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Azam berkata, ini kerana ia boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan seseorang calon.
Jelas beliau, pengundi perlu tahu hak sebagai pengundi dan bertanggungjawab untuk pulang mengundi tanpa berharap menerima sebarang ‘pertolongan’ daripada calon bertanding.
Menurutnya, memberi alasan tidak mahu mengundi jika kos pengangkutan tidak dibayar adalah salah dan seseorang pengundi sepatutnya menunaikan tanggungjawab dengan tidak dipengaruhi mana-mana calon.
“Hak kita untuk mengundi dan jika dibayar (tiket pengangkutan awam untuk pulang) ia menyalahi undang-undang kerana tiada ketelusan dalam pilihan raya itu.
“Malah menjanjikan apa-apa jawatan pun untuk (pengundi) mengundi juga tidak boleh kerana apa jadi jika semua orang diberi duit, sudah tentu boleh memenangkan seseorang calon itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di platform media sosial Facebook NEGERIfm Official hari ini.
Azam berkata, calon atau ejennya juga tidak boleh menghantar pengundi ke pusat pengundian kerana itu dinamakan perkhidmatan, yang mana ramai yang melakukan perkara itu.
“Hati-hati jika melakukan kesalahan kerana tukang mengadu ramai dan boleh membatalkan kemenangan mereka jika terbukti.
“Malah jika semua calon ingin menyediakan bas, apa akan jadi ketika pengundi berada di dalamnya, kita tidak tahu apa terjadi dalamnya dan boleh mempengaruhi pengundi untuk mengundi seseorang,” jelasnya.
Azam juga memaklumkan SPRM tidak boleh dipersalahkan jika mengambil tindakan kerana pihaknya hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
“Kita ini hendak memangkah, pilihlah ketua yang bebas unsur terbabit, di mana jangan jadi satu komuniti korup. Apabila pemikiran jadi korup, maka terjadilah memilih pemimpin yang korup.
“Nasihat saya kepada pengundi, jika ada tawaran untuk diberi apa-apa sebagai imbuhan mengundi seseorang, sila lapor kepada SPRM bagi mewujudkan satu budaya yang sihat,” katanya. – UTUSAN