KUALA LUMPUR : Pempengaruh dan usahawan, Iddin Syah, mendesak seorang penyanyi wanita dan selebriti media sosial, membayar semula wang berjumlah RM150,000 yang didakwa telah dipinjamkan bagi tujuan bayaran satu perkhidmatan sebelum ini.
Menurut Iddin, dia terpaksa menguar-uarkan perkara ini kepada umum kerana berasa telah tertipu dengan penyanyi tersebut serta suaminya yang didakwa sengaja mengelak untuk bertemu dan berhubung dengan dirinya.
“Tempoh dua minggu yang telah saya berikan untuk mereka berdua supaya menjelaskan hutang sebanyak RM150,000 itu sudah tamat. Sekarang lebih tiga minggu, satu sen duit pun saya belum terima.
“Saya ada bukti surat peguam mereka yang bertarikh 7 Jun 2023, antara lainnya menyebut anak guaman mereka Mohd Rosli Abu Bakar (suami pengasas produk kosmetik) berjanji untuk membayar wang kepada saya sebanyak RM150,000 secara berperingkat bermula tarikh 14, 20 dan 25 Jun, dengan jumlah sekali transaksi RM50,000.
“Oleh kerana jaminan surat dari peguam, saya ambil pendekatan berdiam sepanjang Jun lalu kerana mahu memberi peluang dan melihat sejauh mana komitmen mereka dalam menyelesaikan masalah ini. Malangnya seperti dijangka mereka mungkir janji,”katanya.
Tambah Iddin, perbuatan khianat pasangan suami isteri yang sebelum ini merupakan sahabatnya, terbongkar selepas dia memuat naik satu video pada 1 Jun yang lalu.
Video yang dikongsikan menerusi laman Tiktok (Iddinsyah.Esw) dengan jumlah tontonan sebanyak 904,900 itu, memaparkan Iddin baru sahaja selesai membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara, dalam keadaan marah menuntut agar wangnya segera dikembalikan oleh pengasas terbabit dan suaminya.
Pasangan suami itu bukan sahaja mensasarkan Iddin sebagai mangsa, tetapi turut ‘mengenakan’ lingkungan rakan-rakan pengasas produk yang rapat dengannya.
Katanya, ia termasuk menipu ramai cawangan pengedar mereka sendiri yang selama ini membantu mengembangkan pasaran produk mereka.
“Ramai yang dah terkena, ramai yang datang mengadu kepada saya, di mana sebahagiannya membenarkan saya membuat perkongsian di Tiktok.
“Bukan main lagi ‘show off’ kehidupan mewah, pergi sana-sini, berjoget sana-sini, joli sana-sini, duk tunjuk dekat orang kononnya mereka kaya dan gah sangat! Tolong pulangkan duit saya dan semua kawan-kawan yang kau khianat!”katanya.
Ekoran kegagalan mereka untuk menjelaskan bayaran mengikut tarikh yang ditetapkan, Iddin merancang untuk mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini yang turut disertai mangsa-mangsa pasangan suami isteri ini.