Batal pendaftaran, MOTAC akan jumpa MTC - Utusan Malaysia

Batal pendaftaran, MOTAC akan jumpa MTC

TIONG King Sing (kiri) melawat pameran pada program Warisan@Lenggong sempena sambutan ulang tahun ke-11 pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Lenggong. -UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Satu pertemuan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) akan diadakan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pertemuan itu bagi membolehkan pihaknya mengetahui isu sebenar berkaitan pembatalan pendaftaran pertubuhan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sehubungan itu katanya, beliau telah meminta pemangku Ketua Setiausaha MOTAC untuk berjumpa dengan pihak berkenaan.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi pertubuhan itu, jadi saya tidak boleh komen selagi tidak tahu puncanya.

“Saya akan minta pemangku Ketua Setiausaha untuk adakan perjumpaan dengan mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung pembatalan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Warisan@Lenggong sempena Sambutan Ulang Tahun ke-11 Pengiktirafan Lembah Lenggong Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Festival Memartabatkan Seni Budaya ‘Warisan Akar Umbi’ di Dataran Lenggong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd. Zamri Mat Zain.

Mengulas lanjut beliau berkata, MTC juga perlu memberi penjelasan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekiranya mahu membuat rayuan pembatalan tersebut.

“Ia di bawah bidang kuasa KDN, jika mahu buat rayuan, mereka perlu beri penjelasan kepada KDN,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, pendaftaran MTC dibatalkan oleh RoS berkuatkuasa 20 Julai lalu selepas ia didapati melanggar perlembagaan dan isu tadbir urus pertubuhan.

Pembatalan terhadap MTC itu dibuat selaras dengan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya