Barang tiruan tetapi jual dengan harga RM4,000 seunit

Barang tiruan tetapi jual dengan harga RM4,000 seunit

ARIFFIN Samsudin (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang disyaki tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barang tiruan tetapi dijual dengan harga mencecah RM4,000 seunit.

Itu kegiatan segelintir peniaga di Jalan Petaling, dekat sini yang dikesan jual harga barangan tiruan dengan tinggi bagi mengaut keuntungan.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, satu serbuan Op Putra 3.0 telah dilakukan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil cap dagang di Jalan Petaling pada Selasa lalu.

Menurutnya, serbuan membabitkan sembilan premis iaitu gerai, kedai dan stor yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai barang disyaki tiruan terdiri daripada jam tangan, beg tangan, dompet, gelang dan cincin.

“Kesemua 2,505 unit barangan ini telah dirampas membabitkan nilai kira-kira RM250,000.

“Barangan ini berkualiti tinggi dan harga jualan bermula RM400 hingga RM4,000 seunit. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, seutas jam tangan tiruan berjenama ini boleh dijual dengan harga RM750 hingga RM4,000,” katanya dalam sidang akhbar di stor Segambut KPDN KL, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati barangan tiruan ini diperolehi dari luar negara dengan menyasarkan pelancong warga asing yang datang ke Jalan Petaling.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki pemilik premis untuk membantu siasatan.

“Tindakan akan diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selain Akta Cap Dagangan 2019,” ujarnya.

Tambah Ariffin, KPDN mengalukan kerjasama daripada wakil cap dagang yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barang tiruan di pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya melalui pasukan khas turut memantau penjualan barangan jenama tiruan di platform media sosial termasuk TikTok dan akan mengesan peniaga yang terbabit untuk tindakan lanjut.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang kerana jika ingkar, mereka boleh dikenakan hukuman yang berat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya