IPOH: Pemilik kedai emas di Taman Pusat Perdagangan, Tanjung Rambutan di sini berputih mata apabila semua barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta yang disimpan di dalam peti besi dilarikan penjenayah, hari ini.
Kejadian itu disedari pemilik premis selepas dimaklumkan dua pekerjanya ketika membuka kedai sekitar pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada pemilik kedai emas pada pukul 10.30 pagi yang memaklumkan premis miliknya telah dipecah masuk pencuri.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi di mana suspek memecah masuk melalui pintu belakang.
“Jenayah ini dipercayai dilakukan tiga suspek lelaki memakai pelitup muka. Mereka memecah masuk ke dalam premis sebelum membuka peti besi yang menyimpan pelbagai barang kemas menggunakan ‘grinder’.
“Siasatan mendapati, suspek melarikan sejumlah barang kemas anggaran berat tiga kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja dikenali sebagai Nina, 26, berkata, dia menyedari kedai emas itu dipecah masuk selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu belakang premis.
Katanya, dia bertambah terperanjat apabila peti besi yang menyimpan pelbagai barang emas terbuka di mana semua barang di dalamnya hilang.
“Sebelum tutup kedai semalam (Selasa) kami menyimpan semua barang kemas seperti cincin, gelang tangan, rantai leher, subang dan rantai kaki dalam peti besi.
“Pagi ini, semasa buka kedai kami terbau sesuatu yang pelik. Apabila pemeriksaan pada peti besi terdapat kesan dibuka,” katanya. – UTUSAN