PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti ‘Ali Baba’ (rent-seeking) dan membentangkan cadangan itu kepada jemaah menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam untuk melaksanakan inisiatif itu melalui penglibatan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara serta kementerian dan agensi berkaitan.
Menurut beliau, budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.
“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dipercepatkan sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.
Kata beliau, projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran.
Ini termasuk mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.
“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.
“Mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative),” katanya.
Anwar berkata, peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai ini dan disusuli Fasa Kedua pada bulan depan.
Dalam pada itu, katanya, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.
Jelas beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya. – UTUSAN