GEORGE TOWN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau menganggap bantahan serta kemungkinan berlakunya boikot daripada ahli akar umbi Pas selepas beliau dicalonkan di kerusi DUN Bayan Lepas berlaku disebabkan kekurangan komunikasi antara Gerakan dan Pas.
Menurut Dominic, proses pencalonan serta pemilihan beliau sebagai calon di kerusi DUN Bayan Lepas itu dibuat secara telus dan proses yang sama juga digunakan ketika pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka; Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
”Komunikasi dalaman (antara Gerakan dan Pas Pulau Pinang) masih lemah, dan kita akan kuatkan komunikasi dalaman PN selepas ini.
“Proses pemilihan saya sebagai calon di DUN Bayan Lepas juga telus, memang di peringkat negeri akan beri cadangan nama-nama calon, namun keputusan hanya satu nama sahaja dan ia dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini, ahli akar umbi dan pimpinan Pas Pusat di DUN Bayan Lepas mengancam akan memboikot PRN sekiranya Dominic diletakkan bertanding mewakili PN di kerusi itu.
Malah, sumber dalaman Pas juga mendakwa, Dominic mendapatkan kerusi DUN berkenaan dengan menggunakan ‘kabel’ di peringkat pimpinan PN Pusat.
Menurut Dominic, beliau juga tidak menggunakan ‘kabel’ seperti yang didakwa untuk mendapatkan kerusi DUN Bayan Lepas.
Tambahnya, apa sahaja isu yang berlaku antara Gerakan dan Pas akan diselesaikan secara dalaman dan penjelasan juga akan dibuat secara dalaman.
Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya yang tidak diumumkan pada majlis pengumuman calon PN di Pongsu Seribu malam tadi, Dominic berkata, perkara itu disebabkan namanya dari segi protokol hanya sesuai diumumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
”Nama saya tidak diumum kerana dari segi jawatan saya sebagai Timbalan Presiden PN Pusat, jika nama saya sebagai calon diumumkan oleh AJK memang kurang baik, dan hari ini Hamzah telah mengeluarkan kenyataan saya adalah calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas,” katanya.