PETALING JAYA: Pihak bank hendaklah sentiasa peka akan kesusahan yang dihadapi peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan segera menyediakan kemudahan penstrukturan serta penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan.
Demikian saranan ringkas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan berikutan dasar monetari kebanyakan bank pusat yang kekal ketat dan pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan.
Namun kata kementerian itu, kerajaan yakin ekonomi Malaysia terus berkembang pada tahun ini, disokong dengan tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan.
Tambahannya, pelaksanaan projek kerajaan akan terus disegerakan untuk memacu kegiatan ekonomi dan dengan tahap OPR semasa pada 3.0 peratus, dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, katanya, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.
MPC Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada tiga peratus susulan mesyuarat hari ini selepas pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif pada tahap OPR semasa dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. – UTUSAN