KUALA TERENGGANU : Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan beliau sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung banglo mewah miliknya di Kijal, Kemaman selepas tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, dia tidak bimbang disiasat kerana pembinaan banglo itu langsung tidak mempunyai sebarang unsur rasuah.
Menurutnya, banglo itu mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan kerana pembinaannya dilakukan secara berperingkat mengikut jumlah wang yang ada.
“Saya tak ada nak bimbang, tak ada nak sembunyi apa-apa. Tanah itu adalah tanah milik arwah ayah saya, tak beli pun.
“Pernah satu ketika, emak saya meninggal dunia, selepas saya menjadi Menteri Besar dan tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) ada datang ziarah, rumah masa itu dalam keadaan tak siap lagi, tingkap serta pintu semua tak ada.
“Saya pula tidur mengadap pintu dan apabila orang lain lalu nampak Menteri Besar tidur depan pintu. Jadi buat apa saya nak takut, pergilah siasat.
“Lagipun, saya buat rumah itu sikit-sikit dan beli barang sendiri dari Thailand sebab murah. Selepas jadi Menteri Besar barulah rumah tersebut siap dan ia ambil masa sembilan tahun untuk siap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar banglo mewah miliknya yang tular di media sosial baru-baru ini.
Perkongsian gambar itu turut mendakwa kononnya banglo mewah itu dibina hasil rasuah ketika Ahmad menjadi pemimpin UMNO.
Mengulas lanjut, Ahmad menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah jahat dilemparkan terhadap dirinya bagi menutup isu seorang pemimpin Pas yang turut dikaitkan dengan banglo mewah di Kedah.
Tegasnya, sebagai pemimpin, beliau tidak pernah terlibat dengan unsur rasuah apatah lagi membina rumah dengan hasil rasuah. – UTUSAN