Bangkit isu MA63: Bukan tidak hormat Kerajaan Perpaduan - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

Bangkit isu MA63: Bukan tidak hormat Kerajaan Perpaduan – Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kelantangan suara pemimpin Parti Warisan (Warisan) dalam membangkitkan isu Perjanjian Malaysia (MA63) bukan tidak hormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Isu itu dibangkitkan kerana ia berkaitan tentang hak rakyat Sabah yang perlu dipertahan dan dikembalikan seperti termaktub dalam perjanjian tersebut.

Demikian pendirian Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai kenyataan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan Warisan tidak menghormati semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Ini bukan soal hormat atau tidak hormat, apabila ia tentang hak rakyat Sabah, sama ada mereka boleh terima atau tidak kelantangan suara kita, itu mereka punya hak. Tapi, saya perlu pertahan suara rakyat Sabah, ini hak Sabah.

“Tapi, jangan bangkitkan siapa yang telah buat, siapa yang belum buat, siapa dapat kredit. Sekarang sudah ada menteri bertanggungjawab dalam MA63 jadi, tak payah cakap banyak, tunaikan sahaja kamu sudah ada kuasa, sudah ada jawatan maka, buat apa yang saya telah buat,” katanya semasa sidang akhbar di sini semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, semasa beliau menjadi Ketua Menteri, daripada 21 Perkara, 17 Perkara telah dipersetujui dan sebahagian dilaksanakan dan ada sebahagian lagi masih tertangguh atas pelbagai faktor.

Mohd. Shafie berkata, sekarang Datuk Armizan Mohd. Ali berada dalam jawatankuasa MA63 sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) jadi, buat kerja dalam membantu merealisasikan tuntutan MA63.

Menurutnya, soal ingin berdebat isu MA63 atau tidak, ia terserah kepada pihak yang ingin berdebat kerana itu kebebasan mereka.

Namun jelasnya, apa yang jauh lebih penting adalah tunaikan dan laksanakan apa yang terkandung dalam MA63.

Mengulas lanjut katanya, beliau menyatakan semasa Warisan menjadi kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan telah setuju untuk menyelesaikan 17 daripada 21 Perkara.

Katanya, ia dipersetujui dan bukannya telah selesai.

Perkara yang selesai termasuk isu tanah, Sipadan-Ligitan, keselamatan, kesihatan serta hak-hak kehakiman.

“Semua perkara itu telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa dan diluluskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun, masih ada antara perkara itu belum selesai termasuk Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

“Sekarang SESB sedang diselesaikan tapi saya nasihatkan jangan hanya menggunakan kaedah ambil alih kerana hutang SESB RM2 bilion perlu dibayar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya