Baik pulih benteng ombak ditangguh - Utusan Malaysia

Baik pulih benteng ombak ditangguh

KEADAAN struktur penghadang ombak yang runtuh berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di Kuala Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Projek baik pulih struktur penghadang ombak yang runtuh berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu terpaksa ditangguhkan sementara kerana melibatkan peruntukan besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai perkara tersebut dan memahami kebimbangan orang ramai.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan jangka masa pendek dengan meletakkan pita keselamatan berwarna kuning di lokasi tersebut sebagai tanda kawasan larangan untuk dikunjungi orang ramai.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab menanggalkan pita tersebut menyebabkan kawasan itu seolah-olah terbiar tanpa ada sebarang tindakan.

“MBKT telah memasang kembali pita keselamatan itu namun kejadian sama berulang semula dan orang ramai semakin bimbang setelah kerosakan sebahagian struktur itu tular di media sosial baru-baru ini.

“Melalui laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tidak kurang RM5 juta diperlukan untuk kos baik pulih kerosakan benteng pemecah ombak itu.

“Oleh kerana peruntukan tersebut terlalu besar, kita memerlukan masa untuk baiki dan juga kajian yang lebih terperinci oleh pihak konsultan yang dilantik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan mendapati masih ada pengunjung yang berani mendekati kawasan tersebut tanpa mempedulikan keselamatan mereka walaupun sedar risiko bahaya yang ada.

Ariffin berkata, kawasan tersebut sebenarnya terletak agak jauh daripada tumpuan pengunjung namun ia menjadi lokasi kegemaran pemancing.

“Sebenarnya kawasan benteng pemecah ombak ini memang dibina di sekeliling Jambatan Ang­kat Kuala Terengganu namun bahagian yang rosak itu adalah di kawasan yang agak tersorok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya