SAYA pernah membaca sebuah buku tulisan Dr. Othman Puteh semasa hayatnya bertajuk Debu Hiroshima. Dalam buku (yang kini sangat langka untuk diperoleh) itu menceritakan sebuah kisah benar seorang mahasiswa Malaysia bernama Abdul Razak.
Waktu itu sekitar pukul 8 pagi, Abdul Razak sedang berada di dalam bilik kuliahnya di Universiti Hiroshima sebelum bom atom jatuh memusnahkan Jepun. Othman Puteh menceritakan terperinci kejadian itu membuatkan saya terfikir, bagaimana dan siapalah yang mencipta bom segila ini.
Persoalan kecil saya waktu itu tidak hanya dijawab, malah dipersembahkan Christopher Nolan dengan cara yang paling menakjubkan sekali. Nolan membikin naskhah biopik, Oppenheimer berbeza daripada kebiasaan filem arahannya sebelum ini.
Nolan membawakan ahli fizik terkemuka itu ke layar lebar setelah menyemak daripada buku tulisan Kai Bird dan Martin J. Sherwin bertajuk American Prometheus: The Triumph and Tragedy of J. Robert Oppenheimer.
Oppenheimer dibuka dengan ketegangan di dalam bilik mahkamah dan perlu diketahui, Nolan tidak mungkin memberikan sebuah cerita dengan garis masa yang linear. Anda akan dibawa secara jungkir balik beberapa kali yang hanya boleh dikenalpasti melalui warna hitam putih atau solekan para pelakonnya.
Pendek kata, ia kompleks, seperti mozek-mozek episod dan peristiwa yang perlu anda teliti dimanakah sambungannya.
Menjadi mahasiswa yang diperlekeh di Cambridge, Oppenheimer lakonan cemerlang Cillian Murphy kemudian menjadi sosok penting sebagai ahli teori fizik selepas berpindah kampus atas nasihat ahli fizik Denmark, Niels Bohr.
Bahagian penting dalam sejarah hidup Oppenheimer semestinya sebuah projek bernama Manhattan Project yang mengumpulkan sejumlah para saintis geliga untuk menghasilkan sebuah bom atom di sebuah tempat bernama Los Alamos sebagai ‘hadiah’ kepada Nazi.
Oppenheimer diamanahkan untuk mengetuai kajian dan keseluruhan projek berkenaan sehingga ada yang mengatakan di sinilah titik perubahan Oppenheimer tidak hanya sebagai seorang saintis malah seorang ahli politik.
Setelah sejumlah waktu berlalu, akhirnya bom atom yang digelar Trinity siap untuk diuji.
Nolan merakam banyak emosi untuk babak ini membuatkan para penonton ikut sama tidak berhenti berdebar. Namun, apa yang membuatkan penulis kagum adalah bagaimana Nolan memberikan sebuah letupan bom atom tanpa sentuhan dan bantuan imej janaan komputer sedikit pun.
Nolan dan produksinya dalam kata yang mudah mencipta sebuah bom dalam skala lebih kecil. Mereka kemudian merakam secara dekat letupan itu dan membesarkannya sehingga menciptakan ilusi dalam teknik yang dipanggil forced perspective.
Sutradara ingin penonton benar-benar melihat bagaimana atom meletus, membakar atmosfera dan terserak ke udara. Tahniah patut dilayangkan kepada pasukan kesan khas yang diketuai Scott Fisher kerana mampu merealisasikan apa yang ada dalam kepala seorang Nolan.
SESALAN SEUMUR HIDUP
Plot dan dialog Oppenheimer begitu tegang sehingga penulis tidak ingat sama ada wujud momen yang memicu ketawa dalam naskhah ini.
Ia begitu serius, dialognya sangat padat formula dan perbincangan sains yang tidak boleh difahami. Mungkin sebab itulah ada beberapa bahagian filem ini terasa sangat panjang.
Sebenarnya, Oppenheimer tahu bahawa dia sedang menciptakan ‘kematian’. Namun persoalan tentang moralitas terhadap apa yang diciptakannya datang lambat iaitu selepas dia mendengar kesan bom ciptaannya kepada penduduk Jepun menerusi radio.
Sejak itu, Oppenheimer dihantui bayang-bayang kesilapannya sendiri. Dia cuma memperbetulkan keadaan namun situasi demi situasi membantutkannya. Seperti momen gunting dalam lipatan bernama Strauss.
Oppenheimer adalah filem Nolan paling puas ditonton di layar. Cemerlang, padat dan mendebarkan.