Aznah Hamid jadi heroin Rajinikanth, hafal skrip bahasa Tamil

Aznah Hamid jadi heroin Rajinikanth, hafal skrip bahasa Tamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON veteran, Aznah Hamid pernah meniti populariti apabila bergandingan dengan hero filem Tamil, Rajinikanth dalam filem Priya, pada 1978. 

Filem arahan S.P. Muthuraman itu turut dibintangi oleh pelakon superstar Bollywood, mendiang Sridevi. 

Berkongsi pengalaman membintangi filem tersebut, pelakon kelahiran Singapura ini tidak pernah menyangka sama sekali dapat bergandingan dengan pelakon legenda dari India. 

“Asalnya produksi dari India datang Malaysia dan mencari seorang heroin. Kebetulan masa itu, pengurus saya hantar profil dan tak sangka mereka terus bersetuju. 

“Filem ini ada dua hero dan heroin. Saya bergandingan dengan Rajinikanth, Sridevi pula dengan hero lain dari India,” katanya. 

Walaupun perlu bertutur dalam bahasa Tamil, ternyata pelakon berbakat besar ini mampu menghafal dialog dengan baik. 

Katanya, pengalaman menimba ilmu sejak di teater banyak mengasah skil lakonan dan menguasai dialog dengan baik.  

“Masa berlakon itu masih muda, umur pun dalam lingkungan 17 ke 18 tahun. Jadi cepat hafal skrip walaupun dalam bahasa Tamil. 

“Saya banyak berlatih sendiri untuk bertutur dalam bahasa itu. Contohnya, melihat bagaimana orang India bercakap, menonton filem Tamil serta berlatih depan cermin.

“Masa di Singapura, saya berkawan dengan semua bangsa jadi mudah untuk berlatih bercakap dengan kawan India,” katanya. 

Aznah berkata, keupayaan membawakan watak dan bertutur dalam bahasa Tamil dengan baik membuatkan dirinya menerima pujian daripada Rajinikanth. 

“Dia pernah cakap sebutan saya okey, kalau dapat guna direct sound alangkah bagus katanya. Tetapi zaman dulu, kita akan rakam dulu suara sebelum proses dubbing.

“Saya bukan sekadar hafal dialog semata-mata, tetapi perlu faham skrip sepenuhnya. Berlakon pula perlu hafal bahasa Tamil dan Kannada,” ujarnya.  

Belum selesai menjalani penggambaran filem itu, Aznah berkata, sudah ada produksi lain dari India yang berminat menawarkan dirinya berlakon.  

“Tapi saya tak boleh ambil tawaran tersebut sebab tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. 

“Masa itu, pasukan produksi Kamal Haasan (pengarah dan pelakon terkenal) mahukan saya berlakon,” katanya.  

MASUK TEATER 

Ibu kepada pelakon, Sheera Iskandar itu berkata, dia mula berlakon sejak berusia 12 tahun dengan hanya menggalas watak-watak kecil. 

Kebetulan, katanya, abang iparnya adalah orang seni dan bekerja dengan syarikat produksi Cathay Keris Film Productions.  

Kongsinya, ramai kawan-kawan artis selalu datang ke rumah termasuk Mat Sentol yang berkawan baik dengan abang iparnya. 

“Mat Sentol tanya saya, sama ada suka menyanyi sebab kerap melihat saya menyanyi di rumah. Asalnya dia ingin bawa saya berlakon dengan Cathay Keris sebab ada babak menyanyi. 

“Saya cakap menyanyi tak nak, berlakon saya nak. Saya pula pemalu dan kurang yakin masa itu,” katanya.  

Ibu tiga anak ini berkata, dia pernah dibawa menghadiri sesi ujibakat untuk watak heroin sebagai pontianak bagi filem Dara-Kula (1972).  

“Saya dimekapkan seperti karakter pontianak untuk watak heroin itu. Masa itu pula takut lihat kamera, orang suruh cakap kita tergelak-gelak. 

“Akhirnya, tak dapat dan itulah kali pertama gagal dalam sesi ujibakat walaupun dipelawa oleh pengarah filem itu sendiri,” kongsinya.   

Tidak mengenal erti putus asa, Aznah kemudian memberanikan diri menghadiri sesi ujibakat bagi iklan komersial syarikat penerbangan Malaysia Airlines. 

“Masa itu ujibakat secara besar-besaran diadakan lengkap dengan studio dan pencahayaan.  Tak boleh buat juga dan rasa kecewa sedikit selepas itu,” katanya. 

Bertitik tolak daripada itu, Aznah menyertai teater yang dilatih oleh golongan bangsawan di Singapura. 

Berkat mendapat tenaga pengajar yang garang dan tegas, Aznah berkata, dia banyak mempelajari pelbagai tarian Melayu Asli. 

Katanya, setiap malam mereka akan berlatih untuk sesi persembahan kebudayaan di kawasan tumpuan pelancongan. 

“Masa saya kecil mungkin kelihatan comel, jadi ramai orang bertanya sama ada saya berminat buat persembahan kebudayaan. 

“Ikutkan, ibu saya tidak bagi kebenaran tetapi selepas dipujuk akhirnya diizinkan juga,” katanya yang pertama kali menjadi heroin dalam filem sebelum ditawarkan berlakon di televisyen. 

AKTIF BERNIAGA 

Aznah kini aktif berniaga tudung, minyak wangi dan alat solek wanita bersama anak keduanya di Uptown Ampang Point. 

Kongsinya, sejak kecil dia sudah berniaga dan pandai mencari duit poket sendiri. 

“Arwah ibu memang sudah ajar sebab dia memang berniaga. Mak pernah jual barang kemas dan kain batik di Singapura. 

“Anak saya pula sejak menuntut di universiti sudah minat berniaga. Asal cuti belajar mesti dia berniaga. Bila tiada apa-apa, saya selalu ikut dan sokong dia. 

“Ikutkan saya berniaga secara serius dengan anak lepas pandemik Covid-19,” katanya yang kerap berniaga di jualan ekspo dan karnival.  

Aktif berniaga bukan bermaksud Aznah meninggalkan dunia lakonan terus. Sebaliknya, dia perlu selektif memilih watak bersesuaian. 

Walaupun masih menerima tawaran lakonan, tetapi dia hanya akan bersetuju dengan watak yang membina sahaja. 

“Ikutkan kali terakhir berlakon tahun lalu, itupun watak yang saya anggap seperti orang gaji. 

“Lebih lima bulan juga tak berlakon, ada tawaran tetapi saya rasa tak bersesuaian. Kalau sesuai dengan watak dan bayaran pun okey, saya terima. 

“Sebagai anak seni, selagi orang mahu kita berlakon serta daya ingatan masih kuat, mahu sahaja berlakon. Namun, tak boleh main terima sahaja sebab kita tidak mahu jadi perosak industri,” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya