KUALA LUMPUR: Persepsi Astro menayangkan drama berulang perlu disangkal selepas syarikat penyiaran swasta itu menampilkan lima slot berbeza bagi setiap tayangan drama Melayu.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, banyak slot baharu yang diketengahkan dalam memastikan kepelbagaian sekali gus memenuhi citarasa penonton berbeza.
“Contohnya ada slot MegaDrama, Astro Original dan Gempak Original. Drama yang ditayangkan juga bukan tentang kisah rumah tangga semata-mata.
“Andai Itu Takdirnya adalah sebuah drama bersiri 64 episod yang mendapat maklum balas baik daripada penonton. Ia adalah sebuah pengalaman yang berbaloi untuk pelanggan Astro yang boleh menikmati karya terbaik,” katanya semasa ditemui di Astro Showcase di Zepp Kuala Lumpur, minggu lalu.
Astro selaku peneraju syarikat digital penstriman baru-baru ini menyajikan hiburan terkini kepada 800 jemputan termasuk peminat, pelanggan, barisan selebriti dan rakan niaga di lokasi tersebut.
Persembahan muzikal ekstravaganza Astro Showcase yang diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina memberikan peluang kepada pelanggan mengakses tanpa had terhadap kandungan dan rancangan hebat untuk distrim di Astro.
Acara itu turut dihadiri oleh barisan artis yang membuat persembahan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Suki Low, Aisha Retno, Hun Haqeem, Sherry Alhadad serta bintang antarabangsa dari Thailand, Bright Norraphat.