KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun, penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain, 55, mengubat rindu peminat dengan single terbaru berjudul Waktu.
Single ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Joh Jeeves itu dinyanyikan Ziana bersama pendatang baharu, Hasif Upin.
Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu sebelum ini pernah memberi bayangan tentang kerjasama dengan penyanyi baharu untuk single terbarunya itu.
“Ia dirakam secara bersama dengan seorang pendatang baharu. Saya tak kisah, penyanyi baru atau lama, asalkan dia boleh menyanyi,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Filharmonik Petronas.
Bercakap tentang Waktu, Ziana memaklumkan lagu berentak balada itu berjaya menambat hatinya selepas kali terakhir merakamkan single, Dingin sekitar 15 tahun lalu.
“Lagu ini menangkap hati saya, selepas berbelas tahun, akhirnya saya terbuka hati (untuk merakamkan single),” jawabnya.
Rakan duet Ziana, Hasif, 30, merupakan seorang pempengaruh media sosial yang memiliki 3.7 juta pengikut di TikToknya.
Hasif atau nama sebenarnya, Muhammad Hasif Sharuddin sebelum ini pernah muncul dengan lagu Janji sampai Mati ciptaan Aizat dan Anas Amdan.