KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merakam penghargaan kepada penerbangan Malaysia (MH) yang telah memuatkan artikel serta gambar mengenai destinasi-destinasi pelancongan menarik di Perlis di dalam majalah Going Places yang ditempatkan di dalam pesawatnya bagi Julai ini.
Baginda bertitah, majalah berkenaan ditempatkan di dalam setiap poket tempat duduk penumpang di dalam pesawat MH baik untuk penerbangan domestik mahupun antarabangsa.
Titah baginda, laporan tersebut menampilkan serta meraikan pelbagai info mengenai budaya, warisan, masakan dan juga landskap semula jadi tempat-tempat menarik di Perlis.
“Antaranya adalah mengenai asal usul bandar Kangar, keindahan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, sajian juadah istimewa di restoran-restoran seperti Api-Api Ikan Bakar, Ngulang Kopitiam, Ahli Kopi Kangar selain lokasi melawat popular di Wang Kelian View Point dan Taman Negeri Perlis serta banyak lagi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah; Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh pemilik restoran itu, Doris Gozali.
Kurma Daging Perlis akan disajikan dalam menu restoran berkenaan selama dua minggu bagi terus memperkenalkan kembali negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan eko, sempadan Malaysia-Thailand, makanan dan juga pendidikan bagi pasaran Sumatera Utara.
Ia dijayakan pada kali ini atas inisiatif baginda berdua sendiri melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dengan restoran berkenaan, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan juga BMC Travel.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin, meskipun media sosial kini menjadi medium popular untuk tujuan apa-apa promosi, namun penulisan dan fotografi berkualiti dan berimpak di dalam sesebuah majalah atau akhbar masih lagi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosikan mana-mana lokasi menarik dan budaya masyarakat setempat.
“Budaya juga berkait rapat dengan sajian makanan dan juga aktiviti yang hanya terdapat di sesuatu kawasan.
“Dalam konteks negeri Perlis, melalui penulisan yang menarik dan gambar yang memberikan gambaran sebenar sesuatu destinasi atau sajian makanan juga dapat menarik dan menggalakkan lebih ramai pelancong dan pengunjung untuk datang ke negeri ini untuk menikmati keunikan Perlis serta pengalaman yang hanya akan didapati di negeri ini,” titah baginda.
Sebagai rekod, kali terakhir baginda merasmikan promosi masakan Perlis di Medan ialah di Hotel Soechi pada tahun 2013.-UTUSAN