Anwar kemuka bukti tandatangan dokumen lupus hutang peneroka

Anwar kemuka bukti tandatangan dokumen lupus hutang peneroka

LAMPIRAN dokumen FSRA yang ditandatangani Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti bahawa beliau menandatangani surat atau dokumen selaku Menteri Kewangan bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Dokumen itu adalah sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda.

Justeru, beliau mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf kepadanya atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian FSRA terkait Jaminan Kerajaan kepada FELDA yang telah saya tandatangani.

“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Kenyataan itu turut melampirkan dokumen 3 muka surat itu yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Felda dengan Amanahraya Trustee Berhad pada 26 Julai lalu.

Turut dilampirkan dokumen Jaminan Kerajaan melalui terbitan sukuk bagi memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan mengesahkan bahawa perjanjian FSRA telah ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

Jelasnya, seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun lalu, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Di bawah perjanjian, Kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

“Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda.

“Ia antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar mengemukakan bukti bahawa beliau menandatangani surat atau dokumen meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda selepas Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Muhyiddin juga menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Ia sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya