Anwar - Elon Musk bincang pelaburan perkhidmatan satelit

Anwar – Elon Musk bincang pelaburan perkhidmatan satelit

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama Elon Musk di Putrajaya. - GAMBAR IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk yang juga CEO Tesla Inc. untuk datang ke negara ini.

Pada sesi itu, beliau mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut menyertai persidangan video itu selama kira-kira 25 minit yang berlangsung pada pukul 9.30 pagi tadi di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas.

Ini terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

Beliau menjelaskan, inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN