Anwar dedah Dr. Mahathir, Muhyiddin berpakat untuk haramkan UMNO

Anwar dedah Dr. Mahathir, Muhyiddin berpakat untuk haramkan UMNO

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, Jerai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang mengharamkan UMNO ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menjadi sasaran kerana mengetahui perancangan untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.

“Saya cerita pengalaman bagaimana Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin pakat untuk haramkan UMNO, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan UMNO masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan UMNO.

“UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian.

“Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan? Kalau dalam politik kita lawan, dia kata tak boleh, keputusan sudah dibuat,” katanya ketika berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau ada berbincang mengenai perkara itu bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu serta Lim Guan Eng yang ketika itu Setiausaha Agung DAP dan mereka turut tidak bersetuju dengan rancangan terbabit.

Justeru, beliau turut mempersoalkan sama ada ahli dan penyokong UMNO sanggup memberi undi kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Saya nak beritahu orang UMNO yang goyang (was-was) sekarang ini. Sanggupkah kamu beri dukungan kepada parti dia (Bersatu) yang (sewaktu) berkuasa akan mengharamkan parti keramat kamu.

“Apa jenis manusia yang boleh khianat amanah? Dia marah Zahid pasal apa? Sebab Zahid mengambil pendirian yang tegas kerana dia tahu sejarah ini. Masa dia lemah minta pertolongan UMNO. Andai kata dia kuat, UMNO memang nak diharamkan kerana Bersatu dari awal ditubuhkan untuk ganti UMNO.

“Saya bukan ahli UMNO, tapi saya tidak boleh faham politik apa sampai begini. Beza pendapat dengan Zahid tidak mengapa, nak kritik boleh. Tapi salah dia apa (adakah) kerana dia bersama Kerajaan Perpaduan, konon kerana gadai prinsip kepada DAP,” soalnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mendedahkan terdapat dokumen menunjukkan bekas menteri daripada UMNO yang kini meninggalkan parti itu sebelum PRU15 mempunyai rekod tidak bersih termasuk melakukan penyelewengan.

“Ramai mantan menteri bersama mereka yang tinggalkan UMNO, saya nak bagi ingatan, mereka cakap berdegar kata Zahid penipu, Anwar penipu, mereka pura-pura Islam.

“Hang (mantan menteri) tengok muka di cermin, mantan menteri ada yang pernah ‘text’ pada saya minta usah bercakap soal rasuah dan tatakelola, minta saya bekerja.

“Mantan menteri ini bercakap seolah kita tak buat apa, dialah pejuang Islam, pejuang Melayu. Saya kata tengok cermin, tengok rekod, tengok kontrak, tengok berapa tanah kamu ambil, berapa banyak kamu sakau, kamu jaga baik-baik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya