Annuar tiada dalam senarai calon PRK Parlimen Kuala Terengganu  - Utusan Malaysia

Annuar tiada dalam senarai calon PRK Parlimen Kuala Terengganu 

AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) bertanyakan sesuatu kepada  pekerja TDM Plantation yang berjaya memiliki rumah di Ladang Jaya, dekat Sungai Tong di Setiu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menolak dakwaan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bakal bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos depan.

Beliau berkata, nama Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu merupakan antara nama yang disebut-sebut dipilih menjadi calon dalam PRK tersebut.

Malah, katanya, beliau difahamkan beberapa nama pemimpin lain juga disebut-sebut sebagai calon.

“Saya dengar macam-macam nama (bakal calon), bukan Annuar sahaja. Itu adalah spekulasi yang berlegar di media sosial pada masa ini.

“Kita tak boleh menghalang mana-mana pihak nak buat spekulasi, wartawan nak bertanding pun boleh. Namun, setakat dalam pengetahuan saya, (nama Annuar Musa) tiada dalam makluman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian & Penyerahan Kunci Rumah Pekerja TDM Plantation Sdn. Bhd. di Ladang Jaya dekat Sungai Tong, di sini, hari ini.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril berkata, pihak pempetisyen, iaitu calon BN Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Pada PRU-15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd. Zubir.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan Pas meletakkan calon import di PRK Kuala Terengganu pula, Ahmad Samsuri berkata, PN dan Pas sangat terbuka dalam perkara tersebut.

“Kita tidak kisah dengan mana-mana calon, import atau tidak, bukan satu perkara yang besar.

“Apa yang penting pada kita ialah data, analisa dan gerak kerja pilihan raya yang dilakukan dapat memastikan seseorang calon itu boleh menang.

“Calon itu mesti menjadi wakil kepada rakyat untuk menyuarakan (permasalahan dan keperluan rakyat) kepada pihak atasan. Itu yang mustahak, yang penting, calon boleh berperanan sebagai seorang wakil yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya