Angkasa mohon koperasi nikmati insentif sama seperti IKS - Utusan Malaysia

Angkasa mohon koperasi nikmati insentif sama seperti IKS

ABDUL Fattah Abdullah (empat dari kanan) pada Sambutan Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk sektor koperasi mendapat insentif sama seperti yang ditawarkan kepada Industri Kecil Sederhana (IKS).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi konsultasi Bajet, dua minggu lalu.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan berikan maklum balas mengenai permohonan tersebut.

“Isu ini sejak dari dahulu lagi, sudah 10 tahun lamanya namun masih tiada keputusan. Jawatankuasa juga telah ditubuhkan di peringkat kementerian bagi mengkaji cadangan ini.

“Sekiranya kerajaan sukar untuk membuat pindaan akta, kita mohon memberi pengiktirafan supaya koperasi boleh mendapat insentif dan juga bantuan-bantuan kemudahan sama seperti yang diberikan kepada IKS,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Sambutan Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di sini hari ini.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut bertujuan untuk membantu koperasi menyumbang kepada pembangunan sosial ekonomi negara seperti negara-negara maju lain dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan.

“Koperasi-koperasi besar juga disarankan supaya mempelbagaikan aktiviti perniagaan selain operasi kredit.

“Antaranya dengan terlibat dalam sektor seperti peruncitan, pemborongan, pelancongan dan kesihatan untuk mencapai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menyasarkan RM60 bilion pendapatan dijana koperasi menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, terdapat 1,694 buah koperasi di Perak sehingga Disember tahun lalu.

Katanya, keanggotaan koperasai di negeri ini pula adalah seramai 357,390 individu, syer atau yuran sebanyak RM563.45 juta, manakala aset RM1.6 bilion dengan perolehan mencecah RM535.54 juta.

Menurutnya, perolehan itu boleh ditambah baik lagi pada masa hadapan kerana sektor ekonomi sudah pulih berikutan pandemik dan perolehan gerakan koperasi juga telah menunjukkan peningkatan.

“Sebagai institusi yang berpaksikan kepada kesejahteraan hidup rakyat, adalah penting untuk koperasi menceburi sektor-sektor utama negara.

“Ini dapat memaksimumkan impaknya kepada perolehan negara seterusnya menyumbang lebih besar kepada anggotanya khususnya dalam mendepani kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya