SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) mendakwa angin perubahan bakal melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula dengan penamaan calon pada hari ini.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, angin perubahan tersebut kini dirasai berdasarkan tinjauan awal yang pasukan PN di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
“Kita dapat maklum balas positif bahawa ada sebilangan pengundi di DUN ini mahukan perubahan serta wakil rakyat yang lebih baik.
“Tidak dinafikan bahawa Batu Tiga merupakan kubu kuat PH (Pakatan Harapan) tetapi PN akan buat sehabis baik untuk rampas merampasnya,” katanya ketika ditemui pada penamaan calon, hari ini.
Di Batu Tiga, Rina berdepan pertembungan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Danial Al-Rashid dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen.
Rina yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, beliau akan menggunakan pengalamannya sebelum ini untuk memikat pengundi kawasan tersebut.
Menurutnya, terdapat masalah-masalah yang masih gagal diselesaikan oleh wakil rakyat Batu Tiga sebelum ini seperti kerosakan infrastruktur, sosioekonomi dan lain-lain lagi.
“Insya-Allah kalau diberi peluang untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, saya akan bangkitkan semua masalah ini dalam DUN. Jadi harap pengundi kawasan Batu Tiga beri peluang kepada saya untuk menjadi wakil anda,” ujarnya.
Sementara itu, calon PH bagi kawasan itu, Danial Al-Rashid berkata, beliau berazam untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Rodziah Ismail pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Menurutnya, beliau akan memanfaatkan pengalamannya tiga tahun sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk melakukan kerja-kerja kempen di kawasan berkenaan. – UTUSAN