Angin baratan: 4,169 anggota bomba di 5 negeri diarah siap siaga - Utusan Malaysia

Angin baratan: 4,169 anggota bomba di 5 negeri diarah siap siaga

AHMAD IZRAM Osman menunjukkan sebahagian daripada dokumen mengenai persiapan JBPM dalam mendepani fenomena angin baratan yang melanda negara sejak beberapa hari lalu dalam sidang akhbar di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG JAYA: Seramai 4,169 anggota bomba di lima buah negeri iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan diarah bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan bagi menghadapi fenomena angin baratan yang mula melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kesiapsiagaan itu termasuk dari segi kelengkapan serta kemudahan logistik bagi kerja-kerja penyelamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian di luar dugaan.

Beliau berkata, antara kelengkapan dan kemudahan logistik yang akan digunakan termasuk ‘fire rescue tender’, utiliti, pengangkutan udara yang berkaitan serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba juga bekerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan lain seperti MetMalaysia (Jabatan Metereologi Malaysia) untuk mendapatkan data yang berkaitan.

“Pemantauan banjir kilat, tanah runtuh pokok tumbang dan sebagainya pula dilakukan dengan kerjasama PBT (pihak berkuasa tempatan. Begitu juga dengan kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan bersama agensi penyelamatan yang lain.

“Itu antara persediaan kita dan kita juga bersedia sekiranya operasi ini bersambung-sambung (daripada angin baratan kepada monsun timur laut dan sebagainya),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bersama Penolong Pengarah Operasi seluruh negara di sini hari ini.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negeri-negeri di utara Semenanjung termasuk kawasan perairan negeri tersebut dijangka mengalami angin baratan yang bertiup kencang dari 1 hingga 5 Julai ini.

Situasi itu berpotensi menyebabkan berlakunya ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang di negeri-negeri berkenaan selain Kelantan dan Terengganu yang dijangka turut terkesan akibat fenomena sama.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut melakukan rondaan secara kerap di sekitar kawasan pantai di utara Semenanjung serta Kelantan dan Terengganu susulan fenomena angin baratan itu.

Setakat ini, katanya, kejadian yang membabitkan angin baratan seperti banjir kilat dan pokok tumbang dapat ditangani dengan baik oleh anggota bomba di negeri-negeri yang terjejas.

“Dalam hal ini, bomba menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di negeri-negeri utara serta penduduk di Terengganu dan Kelantan supaya mengelak melakukan aktiviti riadah serta aktiviti berkaitan air dengan tidak mengunjungi kawasan pesisir pantai dan yang berkaitan buat masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya