KEMAMAN: Anggota pasukan penyelamat mengambil inisiatif melaungkan azan dan melakukan solat hajat di kawasan pencarian. seorang lagi mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, hari ini.
Kira-kira 30 anggota pasukan penyelamat kumpulan satu di sektor A pencarian, meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk melakukan solat hajat selepas menunaikan solat Zuhur.
Solat tersebut diimamkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zailani Abdullah.
Mohd. Zailani berkata, mereka turut berdoa agar usaha pencarian Putri Nor Fatin Karim, 14, dipermudahkan.
“Kami menganggap kesemua mangsa yang hilang ini sebagai ahli keluarga kami. Sembilan mangsa telah ditemukan dan kami harap ‘adik’ (Putri Nor Fatin) kami ditemukan.
“Kami solat secara bergilir, ketika kami solat, sebahagian anggota terus melakukan pencarian dan kemudiannya giliran mereka untuk solat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat.
Sehingga semalam, sembilan mangsa telah ditemui sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Anak tirinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, pula ditemukan pada Selasa sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi semalam. – UTUSAN