Anggota APM sertai operasi SAR waris keluarga sendiri - Utusan Malaysia

Anggota APM sertai operasi SAR waris keluarga sendiri

MUHAMMAD Zulhakim Zamri (tengah) melihat kenderaan dan barangan peribadi keluarga mangsa tragedi kepala air yang ditemui di lokasi kejadian di Jeram Mawar Air Putih, Kemaman, Terengganu. - UTUSAN NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN :Tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini yang melibatkan 10 mangsa, bukan hanya memberi cabaran buat pasukan penyelamat, malah meninggalkan memori hitam buat seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang juga merupakan waris keluarga mangsa. 

Muhammad Iman Zulhakim Zamri, 29, yang bertugas sebagai anggota APM Hulu Terengganu berkata, dia yang baru bertugas sembilan bulan tidak menyangka akan ditugaskan untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) ahli keluarganya sendiri. 

“SAR kali ini agak sukar untuk saya sebab saya perlu kuat apabila kehilangan ibu dan bapa saudara saya serta enam orang sepupu saya dan seorang bakal ahli keluarga kami. 

“Walaupun memang rasa sedih setiap kali nampak mayat mangsa ditemui, namun saya perlu kuat dari segi emosi dan fizikal. Saya memang berusaha mengetepikan perasaan sedih,” katanya ketika ditemui di Air Putih di sini, hari ini.

Muhammad Iman Zulhakim berkata, meskipun hatinya kuat mahu terus mencari mangsa terakhir yang juga sepupunya, Putri Nor Fatin Karim, 14, namun dia perlu akur dengan segala arahan daripada pegawainya. 

“Saya yakin Putri Nor Fatin dapat ditemui walau apa jua keadaannya. Ahli keluarga kami pun setia menunggu kepulangannya,” ujarnya.

Muhammad Iman Zulhakim berkata, dia dan keluarga ibu saudaranya sememangnya rapat dan tinggal berhampiran di Felda Lepar 3, Pahang. 

“Ketika kecil, saya sering bermain dengan sepupu saya dan agak rapat dengan ibu saudara. Kami agak kurang berhubung bila dah besar dan bawa haluan masing-masing. 

“Saya dah lama tak jumpa ibu saudara dan sepupu sebab saya bertugas di Hulu Terengganu, Hari Raya Aidiladha baru-baru ini pun kami tak sempat berjumpa,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, sembilan sekeluarga yang berasal dari Felda Lepar Hilir 3, Pahang serta bakal menantu keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat. 

Setakat ini, sembilan jasad telah ditemui iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40 serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal,11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Anak tirinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 ditemui pada Selasa sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemui pada Jumaat lalu.

MUHAMMAD Zulhakim Zamri (tengah) melihat kenderaan dan barangan peribadi keluarga mangsa tragedi kepala air yang ditemui di lokasi kejadian di Jeram Mawar Air Putih, Kemaman, Terengganu. – UTUSAN NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya