ARAU: Gelombang hijau tidak akan berupaya sama sekali menembusi Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selain Perikatan Nasional (PN) cukup sukar untuk memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sentimen PRN adalah berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dilihat lebih diyakini untuk menguasai keseluruhan 40 kerusi DUN di negeri itu.
Katanya,sentimen sewaktu PRU15 lalu berbeza berikutan kempen-kempen yang dijalankan oleh setiap parti lebih menjurus terhadap pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.
“Jadi pada waktu itu (PRU15), kita tidak turun ke bawah untuk berkempen tentang prestasi negeri sedangkan rakyat Pulau Pinang sendiri tahu tahu bagaimana tentang prestasi kerajaan negeri ketika itu.
“Angan-angan ini (tembusi Pulau Pinang) memang mudah namun hakikatnya sukar untuk PN menguasai dan menang di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui selepas Program Rahmah Mesra Madani di Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan di sini hari ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menzahirkan keyakinan tidak mustahil gabungan itu memenangi kerusi DUN Pulau Pinang dengan jumlah majoriti mudah pada PRN.
Muhyiddin dilaporkan berkata, terdapat hampir 20 kerusi berpotensi dimenangi PN dan jentera PN perlu bekerja lebih keras bagi menambah lagi penguasaan mereka dalam membentuk majoriti mudah sekurang-kurangnya 21 kerusi daripada 40 kerusi keseluruhan.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, rakyat Pulau Pinang pastinya mahu mengekalkan kerajaan negeri susulan pencapaian baik ditunjukkan oleh kepimpinan sebelum ini menerusi pemberian insentif, pengurusan pentadbiran dan perkembangan ekonomi yang cemerlang berbanding negeri-negeri lain.
“Rakyat mahu melihat pembangunan di Pulau Pinang berterusan kerana ia juga dapat memberi kemakmuran kepada mereka pada masa hadapan
“Malah saya juga yakin yang rakyat Pulau Pinang tidak mahu menjadi seperti rakyat Kelantan, Terengganu dan Kedah yang masih mundur akibat daripada kelemahan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, kehadiran jumlah penyokong yang ramai dalam siri kempen dan ceramah Pas adalah merupakan perkara biasa sejak dari dahulu lagi.
Namun begitu, katanya, perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai indikasi memandangkan rakyat akan membuat pilihan sebaiknya dengan berpandukan kepada prestasi dan kemampuan parti bertanding untuk menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.
“Tidak ada satu pun pencapaian Pas yang boleh dibanggakan untuk dijadikan sebagai penanda aras prestasi mereka malah saya merasakan rakyat Pulau Pinang juga sudah selesa bersama PH dengan dibantu kekuatan BN untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu,” katanya.-UTUSAN