PONTIAN: Rentetan beberapa kemalangan maut yang kerap berlaku di Jalan Gunung Pulai, penduduk menyifatkan jalan tersebut kini menjadi ancaman kepada para pengguna jalan raya selain terdapat gangguan lembu berkeliaran pada waktu malam.
Jalan Gunung Pulai merupakan jalan penghubung di antara daerah Pontian dengan Kulai sejauh 20 kilometer dan ia menjadi sibuk pada waktu pagi dan petang di mana banyak lori besar keluar dari Tol Kulai menuju ke Pontian dan Johor Bahru.
Seorang penduduk Kampung Sri Gunung Pulai, Jamil Abd. Hamid, 53, berkata, banyak faktor menjadi penyumbang kepada berlakunya beberapa kejadian kemalangan di Jalan Gunong Pulai sejak kebelakangan ini.
Katanya, berhampiran Jalan Gunung Pulai terdapat lima buah kuari dan keadaan jalan menjadi sibuk sewaktu lori-lori yang membawa muatan batu keluar pada waktu pagi ditambah lori barangan yang keluar dari Tol Kulai.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan jalan berkenaan mengalami trafik yang tinggi termasuk kehadiran bas-bas sekolah serta pengguna-pengguna jalan raya yang bekerja di Kulai dan Pontian.
“Kita tidak menuduh mana-mana pihak yang menjadi punca kepada kemalangan tersebut, tetapi kemalangan dikatakan berpunca dari pengguna yang ‘makan jalan’ menyebabkan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.
“Di samping mereka yang memandu laju terutama yang pertama kali melalui jalan ini yang kurang mengetahui keadaan jalan, ada yang berbukit, curam dan juga yang landai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kejadian terbaharu pada 4 Julai lalu menyaksikan seorang lelaki maut manakala tiga wanita cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Gunung Pulai.
Sebelum itu pada 17 Jun lalu, dua wanita maut selepas motosikal ditunggangi mereka secara berasingan dipercayai ketika berkonvoi terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah treler. – UTUSAN