Anak wira Perlis juara Piala Malaysia 2004 raih keputusan cemerlang STPM - Utusan Malaysia

Anak wira Perlis juara Piala Malaysia 2004 raih keputusan cemerlang STPM

ADRIENA Duthsanee Andrien Jurad (dua dari kanan) menunjukkan keputusan cemerlang yang diraihnya kepada ibu bapanya sewaktu pengumuman keputusan STPM di SMK Putra, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Andrien Jurad Chamrong yang pernah menjadi wira Perlis dengan gol unik hasil lontaran jauh yang membantu negeri itu membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 83 tahun pada 2004 terharu dan cukup gembira apabila anak tunggalnya berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak perempuannya, Adriena Duthsanee,20, memperolehi semua empat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Melayu sekali gus merekodkan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM yang diumumkan hari ini.

Adriena dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin itu juga merupakan antara 13 calon terbaik negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Katanya, dia merasa amat gembira apabila usahanya sepanjang berada di tingkatan enam membuahkan hasil dan membuka peluang buatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

“Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini, saya ada menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, namun, saya menolak dan memilih untuk masuk ke tingkatan enam.

“Saya menolak tawaran pada masa itu kerana lebih minat dalam bidang undang-undang dan disebabkan itulah saya pilih untuk mengambil STPM bagi mencapai cita-cita untuk menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik kelak,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan berkenaan di SMK Putra di sini hari ini.

Mengulas mengenai resepi kejayaannya, Adriena berkata, dia sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi sewaktu mengulang kaji pelajaran khususnya pada waktu malam.

ADRIENA Duthsanee Andrien Jurad (dua dari kanan) bergambar bersama ibu bapanya selepas meraih keputusan cemerlang STPM menerusi pengumuman di SMK Putra, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Menurutnya, dia juga sentiasa bersiap sedia dengan hadir lebih awal ke kelas atau mana-mana ceramah bagi memastikan tidak terlepas sebarang maklumat yang disampaikan oleh guru atau tenaga pengajar.

“Prinsip saya adalah sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi dalam pembelajaran dan mengikut segala arahan diberikan oleh guru dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Adriena berkata, dia memutuskan untuk belajar di tingkatan enam memandangkan peluang lebih cerah untuk menyambung pengajian ke universiti selepas ini.

Katanya, walaupun subjek di tingkatan enam berbeza dengan pengajiannya sewaktu SPM, namun, perkara itu tidak menghalang dirinya untuk meraih keputusan cemerlang.

“Ramai pihak agak ‘stereotype’ dengan pengajian di tingkatan enam, namun, kunci bagi kejayaan adalah kita kena rajin dalam sesuatu perkara,” katanya.

Tambahnya, dia juga merancang untuk menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang undang-undang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya