KANGAR: Setelah menerima desakan daripada Badan Perhubungan UMNO Perlis, Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri pula tampil menggesa kerajaan negeri mendedahkan perincian berhubung kejayaan menarik pelaburan baharu bernilai RM2.5 bilion ke Perlis.
Ketuanya, Raskhairulimran Raszali berkata, pihaknya meragui kesahihan pelaburan baharu itu yang hanya diperolehi dalam tempoh masa singkat sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, bagi memastikan kesahihan perkara tersebut, kerajaan negeri perlu memperincikan senarai dan nilai pelaburan berkenaan kepada rakyat khususnya di Perlis yang sangat dahagakan pembangunan.
“Anak muda di Perlis amat menantikan peluang pekerjaan yang membolehkan mereka menyumbang kembali jasa dan keringat buat negeri kelahiran mereka ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Badan Perhubungan UMNO negeri meminta kerajaan negeri memperincikan senarai dan nilai pelaburan baharu yang kononnya telah berjaya dibawa masuk ke Perlis.
Gesaan itu adalah susulan daripada laporan Harakah Daily yang menyatakan bahawa kerajaan PN Perlis berjaya membawa masuk pelaburan mencecah RM2.5 billion hanya dalam tempoh tujuh bulan sahaja.
Dalam pada itu, Raskhairulimran berkata, AMK Perlis berharap agar kenyataan yang dikeluarkan itu bukanlah hanya sekadar propaganda politik dan omong kosong oleh kerajaan PN Perlis.
“Jangan jadikan ini sebagai modal untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.-UTUSAN