KANGAR: Banjaran Nakawan dari Kuala Perlis sehingga Wang Kelian, Padang Besar sejauh 36 kilometer mempunyai sejarah warisan geologi yang dikatakan berusia ratusan juta tahun.
Istimewanya terdapat juga struktur batu binaan manusia berusia lebih 100 tahun yang menjadi tinggalan sejarah yang sinonim dengan aktiviti perlombongan bijih timah ditemui di banjaran itu khususnya di Kaki Bukit dan Gua Kelam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Perlis Nature & Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, susunan batu tersebut berasal daripada longgokan batu kapur yang disusun atas tujuan memudahkan proses memindahkan bijih timah dari dalam gua.
Katanya, sekali imbas, struktur batu binaan berkenaan kelihatan menyerupai binaan kebuk arang yang dapat ditemukan di Bukit Menora, Kubang Badak Geotrail Langkawi Unesco Global Geopark, namun ia berbeza dari pelbagai aspek terutamanya dari skala dan tujuan dibina.
“Ia merupakan batu kapur yang diangkut dari dalam gua selepas diledak dengan bahan letupan semasa proses melombong bijih timah. Batu-batu ini diangkut dan disusun bagi memudahkan kerja-kerja pengasingan bijih timah, memasang paip air serta melancarkan laluan keluar masuk tenaga buruh.
“Ia juga berfungsi menjadi pelantar di cerun-cerun bukit yang curam sebagai tapak pengumpulan hasil bijih timah sebelum diturunkan dengan menggunakan sistem takal.
“Melihat kepada struktur susunan batu-batu ini yang tersusun rapi memberi gambaran bahawa kerja-kerja perlombongan bijih timah pada waktu itu memerlukan ketelitian supaya produktiviti yang dihasilkan konsisten secara sistematik bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
Syamil yang berpengalaman luas serta sinonim dengan penerokaan tapak bersejarah berkata, di geopark Perlis struktur tersebut ditemukan bertebaran dalam hutan dan gua perlombongan.
Kata Ahli Jawatankuasa Promosi dan Kesedaran Komuniti Geopark Perlis itu, ia mempunyai nilai interpretasi bagi pembangunan pakej geosejarah dan warisan disamping kekayaan geobio yang masih tersimpan di banjaran batu kapur tertua di negara itu.
Sebagai rekod, sejarah perlombongan bijih timah dikatakan bermula secara kecil kecilan di penghujung abad ke-19.
Ia bermula di tepi Sungai Pelarit, kemudian diikuti dengan ketibaan pelombong Cina yang melakukan perlombongan besar-besaran di kawasan Kaki Bukit.-UTUSAN