PETALING JAYA: Penyanyi, Anuar Zain memaklumkan anak saudaranya, Muhammad Aiman Armin Zaharin yang mencuri tumpuan selepas menghadiri sebuah acara bersama ibunya, Ziana Zain sememangnya adalah seorang yang pandai bergaya.
Sebagai bapa saudara, Anuar berkata, dia tidak pernah memberikan nasihat mahupun tunjuk ajar dalam aspek penampilan kerana anak muda seperti Aiman lebih terkehadapan dalam bab fesyen.
“Sebenarnya ibu dia lebih hebat (bab fesyen). Tak perlu cakap apapun sebab Aiman memang pandai bergaya, nampak sahaja pendiam.
“Anak muda sekarang memang pandai berfesyen tidak seperti kita dahulu yang selekeh tak reti fesyen. Kalau dulu kita pakai seluar, kucing pun boleh bergaduh dalam itu. Ingat dulu masa kecil, pakai jaket semua besar-besar,” katanya selepas sidang akhbar Konsert Ulangtahun ke-40 Anuar Zain (AZ40) di sini, semalam.
Minggu lalu, jejaka berusia 24 tahun yang menggayakan sut berona biru gelap menjadi bualan ramai selepas Ziana memuat naik beberapa gambar menghadiri acara Malaysia Best Business Awards 2023.
Warga maya memuji Aiman yang merupakan graduan dari Management & Science University yang tampil seperti seorang pengawal peribadi kepada Ziana.
Tidak kurang ramai yang mengaitkan wajah Aiman seiras bapa saudaranya, Anuar dan sepupunya, Ernie Zakri.