PETALING JAYA: Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seorang YouTuber selepas memuat naik kandungan YouTube individu berkenaan tanpa kebenaran.
Menurut Ahmad Fadhli, laporan tersebut dibuat ke atasnya dengan dakwaan menyiarkan video daripada YouTube tersebut ke akaun Facebook dan TikTok miliknya.
“Kandungan video yang dimuatkan di FB disiarkan dengan versi penuh malah saya sertakan sekali pautan asal sebagai kredit kepada tuan punya asal video.
“Kandungan di Tiktok tidak dapat disiarkan penuh kerana limitasi 10 minit yang dikenakan oleh Tiktok. Bagaimanapun, video itu telah saya turunkan agar tidak mendatangkan salah faham berpanjangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau telah mendapat nasihat peguam yang berpandangan tiada apa-apa kesalahan dilakukan berikutan video yang disiarkan di Youtube itu sendiri tidak dilindungi oleh mana-mana hakcipta.
“Bahkan tiada sebarang perlindungan dikenakan oleh pemilik jika mana-mana pihak ingin berkongsi kandungan tersebut,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak mahu berkonfrantasi dengan YouTuber tersebut bahkan meraikan kreativitinya dan berharap individu itu terus menghasilkan video sedemikian dan menyemarakkan industri kreatif di negara.
Namun pada masa sama, Ahmad Fadhli berkata, beberapa pihak di Negeri Sembilan telah mengenal pasti seorang individu ditemuramah yang sedia membuat tindakan undang-undang ke atas pemilik video atas dakwaan menyiarkan wajahnya tanpa kebenaran jika perkara ini berlanjutan di meja undang-undang.
“Kami juga sedang mengenal pasti individu-individu lain yang terlibat.
“Bagaimanapun saya memohon maaf jika terdapat sebarang kesulitan dihadapi oleh beliau berikutan isu ini. Saya tidak sertakan sebarang pautan di dalam tulisan ini agar tidak menambahkan lagi kekusutan yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN