KUALA TERENGGANU: Penyandang Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyatakan kesediaan mempertahankan kerusi tersebut sekiranya diberikan peluang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu nanti.
Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, beliau bersedia memikul amanah untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya, keputusan dalam menentukan kedudukannya diserahkan kepada pimpinan parti selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangannya di Parlimen Kuala Terengganu, baru-baru ini.
“Keputusan (bertanding) kena tunggu daripada Pas Pusat, layak bertanding bukan semestinya saya (dipilih sebagai calon).
“Mungkin ada pertimbangan lain, strategi lain dan sebagainya. Saya tidak ada masalah, apa saja amanah yang diberikan parti, saya akan berusaha bersungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah pasca bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Kambing di sini, malam tadi.
Ahmad Amzad menambah, beliau juga berlapang dada sekiranya pimpinan parti menampilkan calon lain bakal bertanding di kerusi tersebut pada PRK nanti.
Malah, katanya, beliau akan menyokong serta berkempen untuk membantu calon yang akan dipilih bertanding di Parlimen tersebut selepas ini.
“Insya-Allah, saya akan berkempen untuk pastikan kemenangan (calon) Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Pas dalam PRK nanti,” ujarnya.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, Pas memutuskan tidak mengemuka rayuan terhadap keputusan petisyen tersebut.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 18 Julai bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kuala Terengganu. – UTUSAN