Agong perkenaan lancar kapal pengangkut baharu A321F Teleport

Agong perkenaan lancar kapal pengangkut baharu A321F Teleport

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergambar bersama pada Majlis Pelancaran Teleport Airbus 321F di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan melancarkan kapal pengangkut baharu milik syarikat logistik di bawah Capital A Berhad, Teleport iaitu Airbus321 Freighter (A321F).

Pelancaran kapal baharu itu dilihat bakal mengukuhkan kedudukan Teleport sebagai peneraju pasaran dari segi jumlah kargo udara mengikut tan di seluruh Asia Tenggara seperti diperakui World ACD.

Bertitah pada majlis perasmian itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada Capital A Berhad dan Teleport di atas penerimaan pesawat A321F.

Baginda turut berharap syarikat itu terus meneroka pasaran Asia Tenggara.

Titah Baginda, pesawat A321F Teleport mempamerkan kejayaan syarikat tempatan mendominasi pasaran serantau selain menzahirkan agar kejayaan itu dicontohi pemain industri yang lain.

Yang turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergambar bersama pada Majlis Pelancaran Teleport Airbus 321F di Sepang. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Sementara itu, Tony Fernandes turut mengucapkan ucapan tahniah kepada pasukan Teleport susulan kejayaan memiliki pesawat kargo A321F pertama mereka.

Katanya, ini bukan sahaja bukti kerja keras dan dedikasi mereka dalam industri logistik, tetapi kemenangan untuk semua di Capital A dalam menjadi penerbangan dipacu nilai kos rendah dan berkualiti.

“Keyakinan kami terhadap masa depan Teleport semakin kukuh apabila menjalin kerjasama dengan perniagaan lain di bawah capital A.

“Ia bukan sahaja meletakkan Teleport sebagai pemain industri yang menguntungkan dan mampu milik, tetapi mewujudkan sebuah rakan kongsi penghantaran boleh dipercayai untuk entiti Capital A,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN