KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, Kerajaan Perpaduan akan memasukkan agenda veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen dan tidak berpencen ke dalam Mesyuarat Skim Perkhidmatan dan Persaraan Malaysia pada Isnin ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatan kuasa yang dipengerusikan beliau akan mengadakan mensyuarat secara menyeluruh bagi mengkaji dan membuat pembaharuan dalam skim perkhidmatan awam.
Pada masa sama, kata beliau, ia mencari langkah untuk meningkatkan kedudukan pendapatan semua skim perkhidmatan termasuk veteran ATM berpencen mahu pun tidak berpencen yang jumlahnya agak besar.
“Sebelum ini, tak (pernah) dimasukkan skim veteran tanpa pencen di dalam kajian persaraan, ini kali pertama. Kata Ketua Setiausaha Negara, menimum enam bulan untuk mengkaji seluruhnya dan kita akan mengkaji implikasi kewangan (terhadap negara).
“Tetapi saya percaya, Insya-Allah, kita dapat sekurang-kurangnya menyelesaikan secara total (isu veteran ATM),” katanya pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan meneliti secara dekat semua memorendum dibangkitkan pelbagai pihak dan mengambil keputusan untuk merombak sistem persaraan negara.
“Jadi saya ambil keputusan berbincang dengan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, selagi kita tidak rombak sistem persaraan dan perkhidmatan angkatan tentera selagi itulah kita dibeban dengan masalah yang tidak kunjung padam.
“Kita boleh beri bantuan sara hidup tapi ini tidak menyelesaikan masalah keseluruhan veteran. Penamatan perkhidmatan (veteran ATM) sebelum tahun 2013 sahaja sudah melibatkan 89,898 veteran. Jumlahnya kalau kita biarkan ia akan menjadi lebih kronik,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pemberian secara one-off kepada veteran seperti yang dilakukan sebelum ini bukanlah langkah penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan isu berbangkit terhadap golongan berkenaan.
Justeru, beliau meminta semua persatuan veteran termasuk Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) untuk menghantar cadangan mereka kepadanya untuk diambil kira sebelum mesyuarat tersebut berlangsung.
“Saya tidak menjanjikan bulan bintang tetapi saya percaya, saya janjikan akan cuba sedaya upaya memberikan faedah dan kebaikan perubahan sedaya-upaya kita,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri terutama supaya agensi kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengenal pasti serta mengambil tanggungjawab membantu menyelesaikan masalah golongan veteran ATM.
Menurut beliau, ia akan dicadangkan pada Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
“Saya cadangkan semua agensi kerajaan Risda, Mara, Fama, semualah termasuk GLC, GLIC, Petronas, Khazanah untuk mengenal pasti keperluan veteran dan mengambil tanggungjawab menyelesaikan sebahagian masalah.
“Kalau semuanya terlibat, ratusan syarikat saya ingat ratusan ribu veteran boleh diserapkan dalam program program mereka,” katanya. – UTUSAN