Abdul Hadi dibenar keluar hospital petang ini - Utusan Malaysia

Abdul Hadi dibenar keluar hospital petang ini

BEBERAPA pemimpin Pas Terengganu melawat Abdul Hadi Awang sebelum dibenarkan keluar dari HSNZ, Kuala Terengganu, petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, petang ini.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Terengganu, Ariffin Deraman ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi.

“Alhamdulillah, berkat doa dan keikhlasan ramai yang sayangkan Tuan Guru, beliau telah dibenarkan pulang hari ini.

“Ketika saya dan beberapa pemimpin lain melawat Tuan Guru tengah hari tadi di hospital, beliau kelihatan ceria dan bersemangat seperti biasa.

“Kebenaran pulang diberi setelah pasukan perubatan yang memantaunya berpuas hati dengan tahap kesihatan Tuan Guru yang semakin pulih dan memuaskan,” katanya.

Selain Ariffin, turut melawat Abdul Hadi di hospital pada tengah hari tadi ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang kes serius melibatkan kesihatan Abdul Hadi ketika dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

“Teruskan berdoa agar Tuan Guru diberi kesihatan yang baik untuk memimpin parti dan umat Islam di negara ini khususnya,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan Ahli Parlimen Marang juga baru tiba di rumahnya selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Semalam, media melaporkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berada di hospital setelah kesihatannya merosot sejak Aidiladha baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menerusi hantaran di laman Facebooknya, pagi semalam.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin negara telah menitipkan doa dan harapan agar kesihatan Abdul Hadi kembali pulih seperti sedia kala dan semua urusannya sepanjang menjalani rawatan dipermudahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya