96 peratus syarikat Jepun mahu kekal di Malaysia

96 peratus syarikat Jepun mahu kekal di Malaysia

ANWAR Ibrahim bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia dan delegasi daripada JACTIM dalam pertemuan semalam. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 96 peratus syarikat Jepun mahu terus kekal di Malaysia dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu berdasarkan tinjauan Japan External Trade Organization (JETRO) yang diberitahu dalam pertemuan beliau bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Yang turut mengiringi beliau adalah delegasi dari badan Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM). 

“Kadar pengembangan ini lebih tinggi daripada purata bagi ASEAN dan kedua tertinggi di rantau ini. Asas ekonomi kita terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi yang rendah serta landskap politik yang semakin stabil. Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, Jepun adalah antara rakan dagang terpenting dan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion atau RM181.51 bilion) pada 2022. 

Beliau berkata, Jepun juga disenaraikan sebagai salah satu sumber utama pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan. 

“Tahun lalu, sejumlah 2,746 projek telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai USD27.25 billion (RM91.14 bilion) dan sebanyak 336,326 peluang pekerjaan telah dijana. Pada tahun ini, kita telah memperoleh komitmen pelaburan daripada Jepun sebanyak RM23 bilion. 

“Justeru, adalah mustahak untuk kita terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia. 

“Peningkatan FDI yang berterusan adalah bukti keyakinan para pelabur asing yang kian pulih terhadap kemajuan dan potensi ekonomi Malaysia,” katanya. 

Anwar berkata, kerajaan juga berkomitmen tegas untuk membangunkan industri baharu seperti ekonomi digital dan teknologi hijau. 

Perdana Menteri amat yakin dengan prestasi masa depan pelaburan di Malaysia yang pastinya akan terus rancak. 

“Kerajaan akan terus berusaha sebaiknya dalam memperkukuh iklim pelaburan yang lebih baik. Kerajaan juga sedang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menarik pelaburan bernilai dan berdampak tinggi serta mencipta tenaga kerja tempatan yang memiliki nilai daya saing. 

“Usaha ini adalah sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang akan datang dan bakal dicerakinkan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang akan diluncurkan pada Ogos tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya