8 cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

8 cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah lapan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan dijangka dipersembahkan di mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan diadakan selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini, kerajaan sedang menyiapkan dokumen pembentangan meliputi kesemua cadangan pindaan daripada kerajaan dan pandangan rakyat sebelum dipersembahkan kepada MRR.

Katanya, lapan cadangan pindaan itu dikenal pasti berdasarkan dapatan analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet.

Ini termasuk Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan.

“Sebarang cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan MRR selaras dengan kehendak Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan pindaan kepada Bahagian III Perlembagaan Persekutuan turut memerlukan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dalam hal pindaan menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara.

“Ini kerana, perhubungan mereka dengan Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri borneo dengan orang yang lahir di negeri-negeri Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata, kerajaan juga memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka.

Jelasnya, pindaan itu memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan juga komited dalam membentangkan cadangan pindaan yang adil dan wajar dengan mengambilkira pandangan daripada semua pihak berkepentingan serta suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN