KUALA TERENGGANU: Jenazah kelapan mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dihantar pulang ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang, sebentar tadi.
Van jenazah membawa Putri Alleya Maisarah meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pukul 8.10 malam diiringi kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jenazah Allahyarham sebelum itu dituntut ibu saudaranya, Rosilawati Yassin, 49, sebelum dimandi dan dikafankan untuk proses pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang.
Menurut Rosilawati, jenazah anak saudaranya itu akan dibawa ke Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir sebelum dikebumikan berdekatan pusara tujuh ahli keluarganya, malam ini.
Lewat malam semalam, akhbar ini melaporkan tujuh beranak yang ditemukan lebih awal disemadikan dalam satu liang lahad iaitu ibu bapa Putri Alleya Maisarah, Azizah Eiyi, 40, dan Karim Abdullah, 39.
Turut dikebumikan adik-beradiknya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4.
Jasad Putri Alleya Maisarah ditemukan tersangkut di kawasan beting pasir pada pukul 3 petang semalam, tidak jauh dari lokasi penemuan Muhammad Zulqarnain Haikal, Ahad lalu.
Setakat malam ini, dua lagi mangsa belum ditemui iaitu Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati. – UTUSAN