KEMAMAN : Seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini, ditemukan lemas pagi, ini menjadikan angka yang terkorban dalam insiden itu seramai tujuh orang.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, mayat remaja perempuan itu ditemukan kira-kira pukul 7.45 pagi di sungai belakang Masjid Kampung Dadong.
Menurutnya, mayat perempuan itu ditemui kira-kira 12 kilometer radius dari lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan pengecaman mangsa belum dibuat oleh ahli keluarga,” katanya ketrika ditemui di sini, pagi ini.
Enam mangsa lain yang ditemukan sejak Ahad lalu ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Empat lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16.
Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat berlaku. – UTUSAN