KOTA KINABALU: Kira-kira 70 penjaja di pantai Tanjung Aru merayu agar kontrak berniaga di tapak gerai sedia ada dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi.
Pengerusi Penaja Penjaja Pantai Tanjung Aru, Dahlan Jahsiri berkata, kontrak sewa tapak akan berakhir pada Ogos ini namun, sehingga kini masih belum ada sebarang makluman daripada pihak pemaju mengenai pembaharuan kontrak.
Beliau berkata, penjaja harus dibenarkan untuk meneruskan perniagaan sehingga projek pembangunan di kawasan itu dimulakan oleh kerajaan.
“Sehingga sekarang belum ada sebarang keputusan sama ada kontrak sewa gerai akan disambung atau ditamatkan.
“Tapi, apa yang membimbangkan ada khabar angin menyatakan pengurusan gerai akan diambil alih oleh pihak pengurusan baharu. Malah, kadar sewa difahamkan akan dinaikkan manakala, saiz lot gerai pula akan menjadi kecil.
“Maka, sebagai penjaja kami memohon agar dalam kontrak terbaharu, kadar sewa tapak akan dikekalkan seperti sekarang iaitu RM510 bagi setiap lot dengan saiz 10 x 20 kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua penjaja di kawasan itu berharap kerajaan akan mengambil alih pengurusan tapak gerai di pantai Tanjung Aru tanpa ada penglibatan pihak ketiga kerana kadar sewa gerai akan menjadi lebih mahal.
Pada masa ini, penjaga bersedia untuk membayar sewa secara langsung kepada pihak kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT). Malah, penjaja juga bersetuju membina dan mencantikkan gerai masing-masing atau secara berkumpulan.
Dahlan berkata, ketika ini, penjaja seolah-olah ditekan oleh pihak ketiga kerana bayaran bagi bekalan elektrik tidak munasabah.
Sekiranya pengurusan dikendalikan oleh PBT seperti sebelum ini, kadar sewa dan bayaran bekalan elektrik jauh lebih murah berbanding sekarang. – UTUSAN