68.6 peratus pengundi Selangor sokong pentadbiran Anwar - Utusan Malaysia

68.6 peratus pengundi Selangor sokong pentadbiran Anwar

Anwar
MOHAMMAD Redzuan Othman berucap pada sidang akhbar itu di pejabat IDE, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 68.6 peratus pengundi Selangor menyatakan sokongan terhadap pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sokongan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berada pada skala tujuh daripada sepuluh iaitu tahap memuaskan berbanding ketika menjadi pembangkang sebelum ini serta menerima 73.4 peratus persepsi positif termasuk pengundi muda.

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, perkara itu diperoleh menerusi kajian pihaknya ke atas 1,693 responden di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Sebanyak 26.3 peratus pengundi Selangor bersetuju Anwar pemimpin yang mampu membawa agenda Malaysia Madani ke arah negara lebih cemerlang.

“Selain itu, 16.9 peratus menyatakan beliau pemimpin mampu menyatupadukan kaum manakala banteras amalan rasuah dan salah guna kuasa (16.1 peratus) serta kekang kenaikan kos sara hidup (14.1 peratus),” katanya pada sidang akhbar Kajian Persepsi Pengundi Menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor di Ibu Pejabat IDE di sini, hari ini.

Jelas Mohammad Redzuan, sebanyak 69.7 peratus pengundi muda berusia 18 hingga 24 tahun turut menyatakan persepsi itu menerusi kajian tersebut.

Malah, beliau turut memaklumkan, sokongan pengundi Selangor terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan mencapai 77 peratus.

Dalam pada itu, Mohammad Redzuan memberitahu kajian IDE turut mendapati jumlah pengundi atas pagar di Selangor sebanyak 26 peratus meliputi pengundi muda dan kali pertama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya Angka itu dianggap tinggi dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan kelak apabila sebanyak 58 peratus merupakan pengundi PH dan BN)manakala Perikatan Nasional 16 peratus.

“Berdasarkan kajian bagi dua penjuru itu, sebanyak 71.1 peratus pengundi memberi persepsi positif terhadap PH diikuti BN (42.8 peratus) dan PN (40.5 peratus). Manakala, 26 peratus pula melibatkan pengundi atas pagar yang disifatkan ‘bahaya’ kepada parti politik dalam PRN nanti,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya