TANGKAK: Pembukaan semula kawasan air terjun di Taman Negara Gunung Ledang semalam meriah dengan 520 peserta mengambil bahagian dalam larian Fun Run Karnival Gunung Ledang di sini.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Taufik Bahar berkata, larian sejauh lima kilometer itu merupakan salah satu acara sempena Karnival Gunung Ledang yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
“Seawal pukul 6.15 pagi orang ramai mulai memasuki pekarangan Gunung Ledang menaiki kereta, motosikal serta berbasikal.
“Kita dapat lihat kemeriahan dan keterujaan orang ramai membawa ahli keluarga masing-masing, anak-anak kecil sehingga datuk dan nenek daripada pelbagai lapisan umur serta masyarakat turut datang.
“Kita berasa teruja dan bersyukur dapat mengadakan karnival tiga hari ini dan meningkatkan kembali sektor pelancongan di daerah ini.
“Kita menjangkakan kemeriahan, namun tak sangka mendapat sambutan hangat bermula Fun Run pagi ini dengan penyertaan 520 orang dalam masa hanya seminggu pendaftaran dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan pelepasan para peserta larian tersebut.
Larian yang bermula dari pintu masuk ke Hutan Lipur Gunung Ledang itu kemudian menyusuri jalan raya dan memasuki pintu gerbang hutan legenda berkenaan.
Larian yang bermula pukul 8 pagi itu dimenangi Ahmad Syakir Mohd. Jamil, 33, dengan catatan masa 17 minit, diikuti pelari muda, P. Kugen, 16, dan tempat ketiga dimenangi, Mohd. Khairul Anwar, 22.
Seorang peserta tertua, Chew Chin Thai, 63, mengakui teruja menyertai acara larian tersebut yang julung kali diadakan.
“Saya keluar rumah seawal pukul 6 pagi bersama-sama kawan-kawan untuk ke sini. Saya memang minat larian seperti ini dan sejak tujuh tahun lalu mula menyertai larian jarak dekat dan jauh, termasuk di Langkawi sejauh 21 kilometer.
“Pagi ini cuaca dan suasana amat baik. Dengan suasana sejuk yang nyaman dari pokok-pokok serta bunyi unggas serta air terjun amat menenangkan,” kongsinya yang merupakan anak jati Tangkak.
Selain Fun Run, pelbagai acara menarik dianjurkan termasuk Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna, pertunjukan motosikal, gerai pameran pihak agensi kerajaan dan swasta.
Sepanjang karnival tersebut berlangsung, bayaran masuk dan parkir adalah percuma.-UTUSAN