50 pasukan sertai Kejohanan Ragbi 7's Kebangsaan - Utusan Malaysia

50 pasukan sertai Kejohanan Ragbi 7’s Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 50 pasukan mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan yang berlangsung di Ipoh hujung minggu ini.

Pengarah Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil berkata, gelanggang kejohanan ialah di Stadium Ragbi Perak dan Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka (15 pasukan), Wanita Terbuka (10 pasukan), Lelaki Bawah 20 Tahun (14 pasukan) dan Wanita Bawah 20 Tahun (11 pasukan).

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu akan dijalankan dalam dua pusingan iaitu pusingan awal bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati untuk peringkat suku akhir ke atas.

Menurut Fahmy, kejohanan itu adalah medan pasukan-pasukan yang bertanding beraksi secara lebih kompetitif di peringkat tertinggi.

Bagi memberi impak pada kejohanan tahun ini, KRM membenarkan pemain daripada pasukan Bungaraya Lelaki 7 Sebelah beraksi untuk negeri masing-masing.

Selain itu, kejohanan ini juga untuk melahirkan bakat-bakat baru yang berpotensi dan sebagai medan pemilihan pemain ragbi wanita untuk pasukan 7 sebelah kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Siri Asia 2023 nanti.

Pada tahun ini, KRM memperuntukkan subsidi sebanyak RM1,000 kepada setiap pasukan bertanding dan jumlah keseluruhan yang telah dikeluarkan oleh KRM untuk geran tersebut adalah sebanyak RM50,000.

Bagi wang hadiah kemenangan, KRM menyediakan hampir RM30,000 kepada para pemenang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN