50 asnaf terima sumbangan daging lembu McDonald's - Utusan Malaysia

50 asnaf terima sumbangan daging lembu McDonald’s

MOHD. Azli Deraman (kiri) dan adik kembarnya, Mohd. Azlan antara penerima sumbangan daging lembu daripada McDonald's Malaysia di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sepasang kembar teruja apabila terpilih menerima sumbangan daging daripada McDonald’s Malaysia dan sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini.

Mohd. Azli Deraman, 40 dan adik kembarnya, Mohd. Azlan yang kedua-duanya bekerja sebagai pemotong rumput di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, sumbangan kewangan itu dapat meringankan beban kewangan mereka pada bulan ini.

Tambah Mohd Azli, sumbangan daging yang diterima pula dapat dijadikan juadah untuk dinikmati bersama isterinya, Nurul Hatimi Azmi, 35, dan dua anak mereka.

“Pendapatan saya hanya RM1,500 sebulan, memang sekadar cukup makan sahaja. Alhamdulillah, saya dapat bantuan tahunan RM2,500 daripada Maidam, cukuplah untuk tampung perbelanjaan sekolah anak-anak.

“Sumbangan seperti ini sangat kami hargai kerana tidak rasa dipinggirkan oleh mana-mana pihak dan saya sendiri akan terus bekerja lebih kuat untuk menyara keluarga,” katanya.

Mohd. Azli dan Mohd. Azlan adalah antara 50 asnaf yang menerima sumbangan daging lembu daripada McDonald’s Malaysia dan wang tunai dari Maidam di pekarangan Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, McDonald’s turut menyumbang lima lembu kepada asnaf zakat Terengganu iaitu dua ekor melalui Maidam, dua ekor (Penjara Marang) dan seekor kepada Asrama Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar.

Ketua Operasi Bahagian Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) McDonald’s Malaysia, Shadan Ismail turut menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM110,000 kepada Maidam.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, Maidam telah memperoleh kutipan zakat sebanyak RM136.9 juta sehingga Sabtu lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM120.3 juta telah diagihkan melalui skim-skim bantuan zakat seperti bantuan sara hidup, bina rumah, persekolahan, perubatan, perniagaan dan beberapa bantuan lain.

“Alhamdulillah, kita akan dapat capai sasaran kutipan zakat RM260 juta pada Disember tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya