KUALA TERENGGANU: Sebanyak 427 majikan belum mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, kesalahan itu dikesan hasil operasi Ops Pemutihan yang dijalankan terhadap 1,194 premis pada Mei dan Jun lalu.
Menurutnya, operasi tersebut bertujuan mengesan serta mengambil tindakan ke atas mana-mana majikan yang masih belum dan gagal mendaftar perusahan serta pekerja mereka yang layak di bawah Perkeso.
“Pada hari ini pula, kita mengadakan Ops Kesan secara bersepadu dengan kerjasama anggota daripada Pejabat Perkeso Dungun dan Kemaman serta Jabatan Tenaga Kerja ( JTK) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Terengganu untuk menguatkuasakan akta dan peraturan di bawah agensi masing-masing.
“Ops Kesan kali ini melibatkan penguatkuasan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017,” katanya ketika ditemu selepas menyertai Ops Kesan Kebangsaan Peringkat Perkeso Negeri Terengganu di sini, hari ini.
“Majikan yang dikesan gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 hingga RM4,000 mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
“Sekiranya mereka engkar atau tidak akur terhadap notis kompaun yang dikeluarkan, mereka boleh didakwa di mahkamah dan boleh disabitkan denda sebanyak RM 10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Farihah memberitahu operasi tersebut tidak akan berakhir pada hari ini tetapi akan tetap diteruskan daripada masa ke semasa mengikut jadual kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh negeri Terengganu bagi memastikan majikan-majikan tidak terlepas dari tindakan dan peraturan. – DUNGUN