PETALING JAYA: Kira-kira 420 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didakwa masih bergelut untuk meneruskan operasi berikutan kemasukan pelajar ke institusi itu masih kurang dan belum mencapai tahap seperti sebelum pandemik Covid-19, sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan pendidikan tinggi negara.
Difahamkan, keseluruhan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pada 2018 berjumlah 1.32 juta dengan 51 peratus atau sekitar 670,00 adalah pelajar IPTS.
Bagaimanapun, angka pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTS pada 2021 dan 2022 masing-masing belum mampu mencapai 600,000 pelajar.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, tidak dinafikan sememangnya ada IPTS yang mencatatkan peningkatan bagi kemasukan pelajar berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, bilangan pelajar yang mendaftar masuk ke IPTS secara keseluruhannya tetap berlaku.
“Jumlah pelajar yang mendaftar masuk ke IPTS pada 2021 ada peningkatan berbanding 2020 dan tahun 2022 juga ada peningkatan berbanding 2021, cumanya masih belum dapat momentum seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Pada masa sama, pendaftaran pelajar antarabangsa pun ada peningkatan, tetapi jumlah masih kurang seperti sebelum pandemik Covid-19. Oleh itu, keseluruhannya kita masih bergelut, IPTS bumiputera lagilah sebab tidak banyak bergantung kepada pelajar antarabangsa.
“Tetapi, untuk 2023 kita belum boleh buat kesimpulan sebab pengambilan sedang berjalan, jadi kita harap ada peningkatan berbanding tahun lepas,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah kemasukan pelajar ke IPTS pada sesi akademik kali ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 144,911 calon ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke IPTA pada sesi akademik kali ini.
Ia meliputi seramai 79,668 calon ditawarkan di universiti awam manakala sebanyak 65,243 calon ditawarkan di politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi program pengajian peringkat sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.
Menurut Amir Hamzah, beliau tidak menolak kemungkinan faktor penurunan pelajar yang dihadapi IPTS adalah sama dengan IPTA, namun IPTS lebih terkesan kerana ia melibatkan kemampuan kewangan pelajar berikutan yuran pengajiannya tidak disubsidi oleh kerajaan.
Oleh itu, katanya, kekangan yang dihadapi oleh IPTS pada masa kini merupakan satu isu besar yang perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan pendidikan tinggi negara.
Malah, katanya, IPTS juga membantu menjana pendapatan negara kerana mempunyai kira-kira 70 peratus pelajar antarabangsa daripada keseluruhan pelajar luar yang melanjutkan pengajian di negara ini.
“Jika dilihat kepada statistik (2018) separuh pelajar berada di IPT adalah mereka yang di IPTS, jadi akan jadi isu sekiranya banyak IPTS tutup.
“Sekiranya kilang tutup dan pekerja hilang pekerjaan itu normal bagi perniagaan. Tetapi jika IPTS tidak ada, maka kita tidak cukup tempat untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi dan kerajaan kena bangunkan lebih banyak lagi IPTA
“Tempat, fasiliti dan kampus semua itu perlukan duit dan mungkin menelan belanja sehingga jutaan ringgit,” katanya.
Justeru, beliau menambah, tanggapan bahawa IPTS yang sedang bergelut itu bukan satu isu besar mungkin sesuai bagi institusi yang tidak berdaya maju sahaja.
“Tetapi, jika IPTS itu bagus serta ada kedudukan, cuma terjejas disebabkan kekangan ekonomi, maka kerajaan kena sokong untuk bantu supaya mereka terus menyumbang kepada pendidikan negara.
“Sebab kita sudah bangunkan universiti dan kerajaan pun tidak perlu keluar modal dan bayar gaji pekerja, cuma cari cara bincang dengan persatuan bagaimana untuk bantu atasi isu ini,” katanya.-UTUSAN